Baca kisah seorang nenek kena tumbuk dan di tendang oleh peragut hari ini membuatkan aku sedih. Trauma kena ragut tahun 2006 dulu di Pandan Indah, KL masih ada. Sekarang kalau berjalan kat mana-mana, aku galas handbag, kepit kuat-kuat bawah ketiak sambil tangan pegang talinya kuat-kuat juga. Mata pula liar tengok orang sekeliling, curiga ja nampak orang, tambah-tambah nampak orang lelaki yang berserabut, muka tak hensem (sori la buat lelaki yang terasa). Waktu kena ragut dulu, Alhamdulillah aku cuma luka di tangan, jatuh terlentang tapi kepala tak terhempas kat jalan bertar tu. Kalau tidak pasti dah arwah la...Habis lebam tangan sebelah kanan sebab peragut tu sentap kuat handbag sambil tarik aku dari atas motornya. Beraninya peragut tu sebab waktu kejadian, ada ramai orang dan aku juga sedang berjalan balik ke rumah dengan kawan-kawan. Aku pulak jalan paling depan dengan 'lenggang mak limah', secepat kilat beg diragut jatuh terlentang sampai kain terangkat ke pinggang. Malunya aku...sampai kini teringat-ingat, parut luka di tangan pun masih ada. Banyak juga kerugian yang aku tanggung akibat kehilangan handbag tu. Dah la harga dia mahal, baru beli pulak, di dalamnya ada macam-macam (lebihkurang macam kocek doraemon). Segalanya hilang sekelip mata dan untuk mengantikannya mengambil masa bertahun.
Kali kedua aku kena seluk saku pulak di sebuah pasaraya di Alor Setar. Waktu tengah shopping baju raya anak-anak, ada pulak hamba Allah yang ambil kesempatan. Alhamdulillah waktu dia curi purse tu aku dah selesai membayar barang-barang yang dibeli. Kalau tidak menangis tak berlagu la nak bayar barang-barang yang penuh troli tu. Sebelum kejadian aku dah perasan seorang lelaki tu nampak mencurigakan, duduk dekat-dekat dengan aku, buat-buat berlanggar bahu. Tapi dah ramai orang, sibuk nak ukur baju kat anak jadi terleka dan tidak berhati-hati. Lepas sedar purse hilang, aku jumpa pengawal keselamatan kat pintu masuk maklumkan perkara tu dan dia minta aku tinggalkan no. telefon. Tak sampai sejam aku dapat panggilan yang purse aku dijumpai oleh mak cik cleaner dalam toilet lelaki tingkat 1. Alhamdulillah hanya duit yang dia ambil. Rugi dalam RM 200 je.
Harapan aku semoga kedua-dua orang yang meragut dan seluk saku tu insaf dan kembali ke pangkal jalan. Apa yang telah berlaku pada aku itu aku terima dengan redho dan ini ujian dari Allah dan mungkin ini dapat menghapus dosa-dosaku sama ada aku sedari atau tidak.
Nak tahu lebih lanjut berita nenek kena ragut baca Kosmo 12 Julai 2011
KOTA BHARU – Kegembiraan seorang wanita yang baru seminggu bergelar nenek untuk melawat anak dan cucunya bertukar malang apabila dia cedera parah selepas terjatuh ditendang peragut yang meragut beg tangannya ketika menunggang motosikal di Lundang di sini kelmarin.
Akibat kejadian itu, pembantu taman asuhan kanak-kanak (Taska), Che Rahimah Dollah, 44, yang dalam perjalanan ke rumah anaknya di Telipot patah tangan kanan, patah sebatang gigi, cedera di kepala dan terpaksa menerima 10 jahitan.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi di Jalan Yahya Petra berhampiran Kompleks Balai Islam di Lundang, Che Rahimah telah diragut oleh dua lelaki menunggang motosikal yang telah mengekorinya.
Sebaik terjatuh dari motosikal, mangsa terus pengsan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dari arah Kubang Kerian dipercayai telah diekori dua lelaki bermotosikal selepas suspek melihat beg tangan mangsa diletakkan dalam raga motosikal.
“Semasa suspek cuba merampas beg tangan dalam raga, mangsa cuba menarik balik beg tangannya itu.
“Geram dengan tindakan mangsa yang tidak mahu melepaskan beg tangan itu, suspek yang membonceng motosikal itu kemudian menumbuk mangsa sebelum menendang pula motosikal mangsa menyebabkan mangsa terjatuh dan pengsan,” kata beliau ketika ditemui pemberita semasa melawat mangsa di HRPZ II petang semalam. (Sumber: Kosmo)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan